Jagalah ALLAH, ALLAH pasti akan menjagamu

"Sampai satu saat, kamu lelah dengan tujuan hidup bila kamu agungkan cinta selain cinta DIA"

.Tinta ku.



Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa;




Siapa pun kamu yang telah ditakdirkan Allah untukku, aku bersyukur seadanya, mengurniakan kamu padaku pada suatu masa yang telah Allah tetapkan.


Aku sedang menjaga hati ini hanya untuk kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa. Aku sedang menjaga diri ini untuk yang sah memiliki. Aku juga berharap yang sama dari kamu. Aku tidak akan sesuka hati memberi senyuman manis kepada lelaki-lelaki lain. Aku juga tidak mungkin menyerahkan cinta dalam hati ini yang masih tersimpan rapi untuk kamu yang aku tidak ketahui siapa.


Aku mohon maaf sekiranya kisah semalam pernah menyaksikan kecundangnya aku dalam bab cinta. Mungkin kerana keseronokan semata. 


Kamu yang tidak ku ketahui siapa;


Aku cuma menginginkan kamu sedang dalam persediaan. Aku tidak kisah siapa pun kamu, yang penting kamu belajar. Menambahkan ilmu pengetahuan di dada, agar suatu hari nanti kamu boleh mengajar anak-anak kita dengan ilmu kamu. Aku tidak suka lelaki yang membuang masanya, berhabis masa bermain game, atau cit chat kosong, atau hobinya melepak di kedai-kedai makan di tepi jalan. Kerana aku mementingkan ilmu sebagaimana aku sedang berusaha untuk meraih ilmu kini.


Aku juga mahu kamu yang tidak ku ketahui siapa kuat untuk berjaga malam demi merebut kasih Allah. Aku ingin, setelah pernikahan kita nanti, malam-malam kita diisi dengan tahajud cinta kepada-Nya bersama. Aku sangat menginginkan detik itu kerana aku sangat sukar melakukannya sendirian. Dan aku sangat mahu engkau yang menjadi imam pada setiap solat-solatku. 


Aku sangat dukacita andai kamu yang aku tidak tahu siapa mudah putus asa dalam perjuangan. Aku akan sentiasa mendoakan kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa supaya sentiasa bersemangat dalam menghadapi kehidupan.


Maafkan aku, jika sebelum kita bertemu ini, akhlakku masih pincang, kata hati sering diikuti. Dan mungkin sebab itulah Allah belum menemukan kita, kerana kita masih dalam perjuangan; perjuangan memburu cinta Illahi. Agar kasih kita suatu hari nanti bersandarkan kasih-Nya.


Aku sangat takut untuk mengharungi dunia ini seorang diri. Aku takut melihat jatuhnya akhlak remaja kini, aku takut andai aku terjerumus dalam semua itu. Aku juga khuatir melihat dunia kini semakin usang untuk didiami kerana tandusnya akhlak muda-mudi. Aku melihat orang-orang yang soleh memperjuangkan kata-katanya, baik di kuliah-kuliah, baik juga dalam ceramah-ceramahnya atau juga tazkirahnya. Tetapi mereka sendiri diuji dengan apa yang mereka dakwahkan.  Aku bimbang aku juga akan melakukannya tanpa sedar. Bila-bila masa Allah akan mengujiku kembali. Doakan kekuatan buatku untuk terus menjaga hati.


Dan yang paling penting, semoga engkau dapat menghormati kedua orang tuaku dan anggap mereka sebagai orang tuamu juga. Kasihilah mereka dan aku minta agar aku dapat berbakti untuk mereka walaupun tanggungjawabku akan beralih padamu suatu ketika.


Aku tidak tahu; sama ada aku kenal ataupun tidak bakal suamiku, yakni kamu. Siapa pun kamu aku terima seadanya, cuma aku mohon semoga kamu punya iman dan agama untuk membimbingku suatu hari nanti apabila tiba masanya saat kita dipertemukan Allah. Maafkan segala keterlanjuranku sepanjang hayatku sebelum kita dipertemukan; iaitu saat ini.


Akhir kata, semoga Allah melindungi kamu dan aku walau di mana pun kita berada. Semoga Allah lah yang akan menjadi urusan utama kita pada setiap ketika. Aku berharap agar imanmu sentiasa sihat. InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga diriku sebaik mungkin. Hidupku cuma ada Allah, dan itu keyakinanku. Semoga kita dipertemukan oleh Allah pada masa yang telah Dia tetapkan untuk kita. =)




p/s: kamu tahu, aku sangat bersalah kepadamu.




Yang benar; 
Syamimah Ismail































source: Dr. Cinta







0 comments:

Post a Comment